Friday 15 January 2010

GERHANA MATAHARI DAN BULAN

Allah Subhanahu Wata’ala Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui akan segala kejadian, Dialah juga yang menjadikan apa yang ada di bumi seperti manusia, jin, tumbuh – tumbuhan dan haiwan, serta menjadikan apa yang dilangit seperti bulan, matahari dan sebagainya. Iaitu sebagai bukti keterangan yang nyata tentang Qudrah, Iradah, I’lmu, kebijaksanaan serta pengurniaan nikmat dari Allah Subhanahu Wata’ala yang banyak dan luas yang mendorong supaya makhluk memuji dan bersyukur, serta mengabdikan diri sebagai hamba dengan khusyuk dan tunduk kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Umat Islam percaya dengan penuh yakin bahawa Allah Subhanahu Wata’ala pentadbir seluruh alam, segala peredaran cekerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya adalah dibawah kekuasaan Allah Subhanahu Wata’ala yang menggerakkannya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti – ganti, matahari beredar diwaktu siang, manakala bulan beredar diwaktu malam adalah atas Qudrah dan Iradah Allah Subhanahu Wata’ala jua, dan ianya mempunyai hikmah dan tujuan tersendiri, Maha Suci Allah Pentadbir Seru sekian alam.

“Dan juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu.”

Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala menjadikan malam dan siang adalah sebagai tanda kekuasaan atau bukti kekuasaanNya, keduanya (malam dan siang) akan mengakibatkan perubahan dan perbezaan cuaca, masa dan waktu. Begitu juga dengan kejadian gerhana, adapun gerhana itu terbahagi kepada dua iaitu gerhana matahari dan bulan. Gerhana itu suatu perubahan, suatu kejadian, suatu keagungan dan kebesaran Tuhan yang berlaku pada matahari dan bulan dimana kejadian ini adalah suatu perkara yang amat mudah bagi Allah Subhanahu Wata’ala melakukannya.
Oleh itu jika berlaku kejadian gerhana matahari atau bulan,ianya bukanlah merupakan suatu tanda akan timbul suatu kejadian yang aneh dan mengkhuatirkan, tetapi gerhana itu berlaku atas sifat wajib bagi
Allah Subhanahu Wata’ala iaitu berkehendak dan berkuasa atas segala sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh apa jua kekuatan pun didunia ini, sebagaimana hadith Rasulullah Salallahu A’alaihi Wasallam:

Maksudnya:”Dari Abi Masu’d Radhiallahu Anh berkata:Sabda Rasulullah Salallahua’alaihi Wasallam: Sesungguhnya matahari dan bulan tidak akan gerhana kerana kematian atau hidup seseorang, maka apabila kamu melihat gerhana itu berdirilah bersembahyang dan berdoalah kepada Allah.”

Apabila berlaku gerhana, kita sebagai umat Islam adalah dianjurkan oleh Rasulullah Salallahua’alaihi Wasallam supaya bersegera untuk melakukan perkara – perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar. Sebagaimana hadith Rasulullah Salallahua’alaihi Wasallam:

Maksudnya:”Dari Aisyah Radhiallahu Anhu ia berkata: Sabda Rasulullah Salallahu A’alaihi Wasallam:Maka apabila kamu melihat gerhana itu lalu berdoalah kamu kepada Allah Ta’ala, serta berzikir, bersembahyang dan bersedekah.”

Oleh yang demikian, wahai kaum muslimin,marilah kita sama – sama mengambil kesempatan semasa berlakunya gerhana ini untuk bersegera bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan, serta memperbanyakkan doa dan Istighfar memohon keampunan kehadhirat Allah Subhanahu Wata’ala. Disamping itu, marilah kita melakukan perkara – perkara yang berkebajikan dan menghindarkan daripada melakukan perkara – perkara munkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercegah dengan ajaran agama Islam. Mudah – mudahan kejadian gerhana ini akan menimbulkan keinsafan,menambahkan dan menguatkan lagi keimanan serta ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbala’alamin.

”Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda – tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah bagi orang – orang yang berakal:Iaitu orang – orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi sambil berkata:Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda – benda ini dengan sia – sia, Maha Suci Engkau maka peliharalah kami dari azab neraka.”

No comments:

Post a Comment