Friday 22 January 2010

BERSEDEKAH

Agama Islam amat menggalakan kita supaya hidup saling bantu – membantu dan tolong – menolong kerana dengan cara demikian dapat menimbulkan perasaan hormat – menghormati dan berkasih sayang sesama manusia, tidak mengira samada keluarga, kaum kerabat, rakan, jiran mahupun orang yang tidak dikenali. Dengan amalan demikian dapatlah kita nikmati kehidupan yang aman damai, sejahtera dan harmoni, baik dalam berkeluarga, bermasyarakat mahupun bernegara. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al – Maidah ayat 2:

Tafsirnya:”Dan hendaklah kamu bertolong – tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong – tolangan pada melakukan dosa(maksiat)dan pencorobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab seksaNya bagi sesiapa melanggar perintahNya.”

Salah satu cara untuk melaksanakan konsep tolong – menolong atau bantu – membantu ialah dengan bersedekah. Sesungguhnya sedekah sangat digalakkan oleh agama Islam. Ia merupakan salah satu cara kita menzahirkan kesyukuran dengan nikmat rezeki kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala. Amalan sedekah merupakan kunci untuk mendapatkan ketenangan dan kebahgiaan hidup, dan ianya juga merupakan latihan jiwa atau rohani agar kita hidup menjadi orang yang perihatin, balas kasihan, kasih sayang, jauh dari bersifat pentingkan diri sendiri dan sebagainya.
Ketahuilah bahawa orang yang bersedekah telah dijanjikan ganjaran yang sangat besar dari Allah Subhanahu Wata’ala, tidak kira banyak atau sedikit, apa yang penting ialah niat dan keikhlasan orang yang bersedekah. Dalam hal ini, ganjaran orang yang bersedekah itu sangat banyak, antaranya ialah:

1)Terhindar dari mendapat Su ul Khatimah iaitu mati dalam keadaan yang buruk dan hina.
2)Mendapat harta dan rezeki yang bertambah – tambah bahkan juga mendapat berkat.
3)Mendapat ganjaran pahala seperti pahala Perang Uhud, bahkan lebih besar dari itu.
4)Diampunkan dosanya, dipermudahkan perhitungan amal, dipanjangkan umur.
5)Dapat mensucikan jiwa.
6)Diselamatkan dari api neraka.
7)Mendapat naungan dari Allah Subhanahu Wata’ala di hari kiamat kelak.
8)Mendapat penjagaan dari Allah Subhanahu Wata’ala serta menyelematkan dari bela dan musibah.

Itulah keberuntungan orang – orang yang bersedekah, oleh itu orang yang enggan bersedekah, yang takut atau tidak mahu hartanya berkurang, mereka sebenarnya berada dalam kerugian yang bukan sedikit, tetapi sangatlah besar. Dengan bersedekah kita boleh menikmati ganjaran yang begitu banyak dengan mudah serta berlipat ganda dari apa yang telah dikeluarkan, maka rebutlah peluang keemasan itu dengan cepat. Ketahuilah bahawa bersedekah itu umpama suatu pelaburan yang tidak akan mengalami kerugian walau sedikitpun, bahkan sangat menguntungkan, kita renungilah firman Allah Subhanahu Wata’ala dalm surah Al – Baqarah ayat 261:

Tafsirnya:”Bandingan derma orang – orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah,ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangki, tiap – tiap tangki itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatilah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah Maha Luas Rahmat KurniaNya, lagi Meliputi Alam Pengetahuan.”

Sebagaimana kita ketahui bahawa pada zaman ini kita menghadapi banyak ancaman seperti wabak penyakit, tidak terkecuali bencana alam seperti banjir, gempa bumi, taufan, tanah susur dan sebagainya. Maka sebagai umat Islam kita menghadapi situasi – situasi tersebut dengan sabar dan tabah menghadapi disamping berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Selain itu perbanayakkanlah amalan bersedekah kerana sedekah itu boleh menyelamatkan kita dari mara bahaya dan bencana serta mendapat perlindungan dari Allah Subhanahu Wata’ala.

Oleh itu hulurkanlah sedekah dengan seikhlas hati samada kepada ahli keluarga atau kepada sesiapa yang memerlukan. Lebih – lebih lagi dinegara kita banyak kemudahan untuk kita menghulurkan sedekah atau derma, seperti melalui khidmat pesanan ringkas(sms), tabung – tabung kutipan derma yang telah ditempatkan ditempat – tempat yang khusus seluruh negara dan seumpamanya. Inilah peluang kita untuk meraih keuntungan dan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Akhirnya sama – samalah kita berdoa semoga kita mendapat naungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala, dan mudah – mudahan negara kita dihindari dari apa jua musibah. Amin Ya Rabbala’alamin.

"Wahai orang – orang yang beriman jangan rosakkan pahala amal sedekah kamu dengan perkataan membangkit – membangkit dan kelakuan yang menyakiti, seperti rosaknya pahala amal sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk – nunjuk kepada manusia(ria). Dan ia pula tidak beriman kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan hari akhirat.”

No comments:

Post a Comment