Wednesday 16 December 2009

MELANGKAH TAHUN BARU HIJRAH

Tahun demi tahun, usia kita semakin meningkat dan semakin dekat kepada kematian. Akan tetapi sedarkah kita, dengan kehidupan yang tidak kita ketahui bila penghujungnya itu, berapa banyakkah bekalan yang telah kita persiapkan untuk menghadapinya. Kita sering lalai dan asyik dengan kesenangan dan kenikmatan Dunia sehingga kerananya kita lupa kepada Akhirat yang bakal kita tempuhi.

Kemewahan harta benda, kesihatan tubuh badan dan kesenangan hidup seharusnya membuat kita lebih bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, menta’atiNya dan sentiasa mengingatiNya. Dengan demikian, kita akan sentiasa dekat kepadaNya. Akan tetapi tidak kurang juga ada terus alpa dan lalai dengan kemewahan dan kesenangan itu sehingga mereka semakin jauh daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Maka bersempena dengan melangkah kita ketahun baru 1431 Hijrah ini, marilah kita tingkatkan usaha untuk lebih mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala, kerana hanya demikian, kita dapat mengharungi kehidupan diDunia dan sejajar dengan kehendakNya. Kita bukakan minda, isikan jiwa dengan ilmu agama, cekal dan terus bertaqwa dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar kita dapat menangkis segala anasir jahat yang cuba untuk menggugat keimanan kita.

Kita sucikanlah hati dan jiwa dengan meninggalkan apa jua perkara yang dilarang Allah Subhanahu Wata’ala. Inilah salah satu cara hijrah yang boleh kita lakukan sebagai seorang muslim. Sabda Rasulullah Salallahu A’alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al – Bukhari dari Abdullah Bin A’amru Radhiallahu Anhuma:

Maksudnya:
“Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala larangan Allah Subhanahu Wata’ala.”

Dalam usaha meningkatkan integriti dan kehormatan Islam serta umatnya, kita hendaklah berusaha menjadi umatnya yang terbaik, bukan sahaja dari aspek keduniaan, bahkan apa yang lebih penting ialah menjadi umat yang terbaik dari aspek kerohanian seperti beriman kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan hari Akhirat, mengajak berbuat kebajikan dan mencegah berbuat kemunkaran. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al – Imran ayat 110:

Tafsirya:
“Kamu wahai Muhammad adalah sebaik – baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah(buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar – benar iman. Dan kalaulah ahli kitab(Yahudi dan Nasrani) itu beriman sebagaimana yang semestinya, tentulah iman itu menjadi baik bagi mereka. Tetapi diantara mereka ada yang beriman, dan kebanyakkan mereka orang – orang yang fasik.”

Dalam membicara tentang hijrah, kita imbas kembali kepada sejarah penghijraan Rasulullah Salallahu A’alaihi Wasallam ke Yassrib(Madinah), yang telah berjaya menyatupadukan kaum Ansari dan Muhajirin dengan cara mempersaudarakan antara mereka. Rasulullah Salallahu A’alaihi Wasallam juga telah berjaya mewujudkan piagam Madinah dibawah pimpinan baginda sendiri. Setelah itu Agama Islam pun berkembang luas hingga sampai keMekah, dan terus berkembang sehingga ketanah – tanah Arab. Akhirnya Agama Islam terus tersebar keseluruhan pelusuk Dunia.

Untuk itu, sebagai umat Islam yang taat dan cintakan baginda Rasulullah Salallahu A’alaihi Wasallam, kita perlulah meneruskan perjuangan baginda untuk mengajak manusia seluruhannya kejalan Allah, serta rela berkorban dengan kemampuan yang kita ada baik harta, masa mahupun jiwa.

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam surah At – Taubah ayat 20:

Tafsirnya:
“Sesungguhnya orang – orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka, adalah lebih besar dan tinggi darjatnya disisi Allah dan mereka itulah orang – orang yang berjaya.”

Perlulah diketahui bahawa penghijraan Nabi Muhammad Salallahu A’alaihi Wasallam dan pengikut – pengikut baginda meninggalkan kota Mekah bukanlah kerana takut diseksa atau dibunuh oleh pihak musuh, akan tetapi ianya merupakan perintah Allah Subhanahu Wata’ala. Inilah contoh yang patut kita taladani jika kita benar – benar ingin membuktikan keta’atan, kesetiaan dan keikhlasan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala iaitu memiliki kecekalan, keberanian serta tidak gentar menghadapi apa jua dugaan dan halangan dalam usaha untuk menegakkan Syiar Islam. Kita sesungguhnya telah berjanji di hadapan Allah Subhanahu Wata’ala lima kali setiap hari:

Tafsirnya:
“Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.”

Oleh yang demikian, bersempena kedatangan tahun baru hijrah ini marilah kita sam – sama muhasabah diri, bertaubat nasuha dan memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dari segala dosa – dosa yang telah kita lakukan selama ini. Sebagai tanda kesyukuran dengan ketibaan tahun baru hijrah 1431 ini, sama – samalah kita berdoa semoga kita dapat melakukan hijrah dengan lebih baik. Kita semua akan dapat bekerjasama untuk membangun bangsa, agama dan negara dengan petunjuk dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wat’ala. Amin Ya Rabbala’alamin.


“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah untuk membela dan menegakkan Islam, nescaya ia akan dapati dimuka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezki yang makmur. Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati dalam perjalanan hijrahnya, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya disisi Allah, dan ingatlah Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.”